Pages

Monday, April 11, 2011

HIJRAH RASULULLAH S.A.W DAN REALITI SEMASA

Pada setiap permulaan tahun baru hijrah, dunia Islam biasanya menyambut perayaan maal hijrah mengambil sempena hijrah Rasulullah s.a.w dari al-Makkah al-Mukarramah ke al-Madinah al-Munawwarah. Hijrah nabi ini bukan semata-mata proses perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, atau satu keadaan ke satu keadaan yang lain, sebagaimana difahami kebanyakan orang, bahkan ianya adalah satu manifestasi perubahan sesebuah masyarakat untuk mencapai atau menggapai kemuliaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. 

Selepas tempoh tertentu Rasulullah s.a.w bermukim di Madinah, baginda telah menubuhkan kerajaan Islam yang memerintah berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah, walaupun pada waktu itu dunia diperintahkan oleh dua kuasa besar, Rom dan Parsi. Kerajaan yang baru ditubuhkan itu mampu menggugat kuasa kekuatan Kaisar Rom dan Kisra Parsi.

Hijrah merupakan sunnah para anbia’ dan du’at, tiada nabi yang tidak melakukan proses hijrah demi memperkenal dan mengembangkan agama yang suci lagi benar, bermula dari nabi Adam sehinggalah kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Sebelum kita menyebut tentang pengajaran yang dapat dikutip dari peristiwa penghijrahan yang berlaku dan menjadikannya sebagai cerminan hidup kita dewasa ini, elok rasanya kita menyingkap tirai sejarah peristiwa hijrah yang dikisahkan oleh al-qur’an yang maha suci terlebih dahulu.
  1. Penghijrahan nabi Adam dan isterinya Hawa dari syurga setelah mereka berdua melanggar larangan Allah untuk tidak memakan buah dari pohon tertentu yang menyebabkan mereka diturunkan ke bumi. Firman Allah Taala :

    قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا جَمِيعًا فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

    Kami berfirman lagi : Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari Aku ( melalui para rasul dan kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka ), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan ( dari sesuatu yang tidak baik ) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (al-Baqarah : 38).

  2. Penghijrahan nabi Nuh bersama-sama pengikutnya yang sedikit dengan sebuah bahtera yang dibina diatas bukit dan mengikut haluan bahtera yang telah ditakdirkan Allah Taala.
    Allah berfirman :

  3. حَتَّى إِذَا جَاءَ أَمْرُنَا وَفَارَ التَّنُّورُ قُلْنَا احْمِلْ فِيهَا مِنْ كُلٍّ زَوْجَيْنِ اثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلَّا مَنْ سَبَقَ عَلَيْهِ الْقَوْلُ وَمَنْ آمَنَ وَمَا آمَنَ مَعَهُ إِلَّا قَلِيلٌ * وَقَالَ ارْكَبُوا فِيهَا بِاسْمِ اللَّهِ مَجْرَاهَا وَمُرْسَاهَا إِنَّ رَبِّي لَغَفُورٌ رَحِيمٌ
    ( Nabi Nuh terus bekerja ) sehingga apabila datang hukum kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi ( yang menandakan kedatangan taufan ), Kami berfirman kepada nabi Nuh : Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan ( jantan dan betina ), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab keatasnya ( disebabkan kekufurannya ), juga bawalah orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya melainkan sedikit sahaja. (Hud:40,41).
  4. Penghijrahan nabi Ibrahim dan sepupunya Luth dari Iraq ke Syam. Firman Allah:

    وَنَجَّيْنَاهُ وَلُوطًا إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِينَ

    Kami selamatkan Ibrahim dan Luth ke negeri yang telah Kami limpahkan barakah padanya untuk umat manusia. (al-Anbia’: 71).

  5. Penghijrahan nabi Ibrahim bersama anaknya dan isteri tercinta ke semenanjung tanah Arab. Firman Allah Taala :

    رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

    Wahai tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku disebuah lembah ( tanah suci makkah ) yang tidak ada tanaman padanya, disisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai tuhan kami! ( mereka ditempatkan disitu ) supaya mereka mendirikan sembahyang ( dan memakmurkannya dengan ibadat ). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik dan gemar kepada mereka, ( supaya datang beramai-ramai kesitu ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka, dari berbagai-bagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman semoga mereka bersyukur. (Ibrahim:37).

  6. Penghijrahan nabi Yunus dengan bahtera dari daerah “Nainawa”. Allah berfirman :

    وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

    Dan ( sebutkanlah peristiwa ) zin nun, ketika ia pergi ( meninggalkan kaumnya ) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan ( setelah berlaku keatasnya apa yang berlaku ) maka ia pun menyeru dalam keadaan gelap gelita dengan berkata : Sesungguhnya tiada tuhan yang dapat menolong melainkan Engkau ya Allah. Maha suci Engkau ( dari melakukan aniaya! Toonglah daku )! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. (al-Anbia’: 87).

  7. Penghirahan nabi Yusuf ke Negara Mesir. Firman Allah Taala:

    ووَشَرَوْهُ بِثَمَنٍ بَخْسٍ دَرَاهِمَ مَعْدُودَةٍ وَكَانُوا فِيهِ مِنَ الزَّاهِدِينَ

    Dan ( setelah berlaku perundingan ) mereka menjual Yusof dengan harga yang murah, beberapa dirham sahaja bilangannya dan mereka adalah dari orang-orang yang tidak menghargainya. (Yusuf: 20).

  8. Penghijrahan nabi Yaakub dan anak-anaknya dari Syam ke bumi Mesir selepas yakin bahawa anaknya yang hilang dahulu itu (Yusuf) ada di sana dan beliau teringin untuk menemuinya. Allah berfiman :

    ققَالَ لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ * اذْهَبُوا بِقَمِيصِي هَذَا فَأَلْقُوهُ عَلَى وَجْهِ أَبِي يَأْتِ بَصِيرًا وَأْتُونِي بِأَهْلِكُمْ أَجْمَعِينَ

    Yusuf berkata : Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan ( tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu ), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan dialah jua yang amat mengasihani yang segala yang lain yang mengasihi. Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan ia pada muka bapaku, supaya ia dapat melihat dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu sekaliannya (Yusuf:92,93).

  9. Penghijrahan nabi Musa dari Negara Mesir ke daerah Madyan dimana baginda telah membunuh seorang lelaki berbangsa qibti. Firman Allah Taala :

    ففَخَرَجَ مِنْهَا خَائِفًا يَتَرَقَّبُ قَالَ رَبِّ نَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

    Maka Musa keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil mendengar-dengar ( berita mengenai dirinya ) serta berdoa dengan berkata : Wahai tuhanku! Selamatkanlah daku dari kaum yang zalim . (al-Qosos:21).

  10. Penghijrahan nabi Musa dari daerah Madyan kembali ke kampung halamannya Mesir. Firman Allah :

    ففَلَمَّا قَضَى مُوسَى الْأَجَلَ وَسَارَ بِأَهْلِهِ آنَسَ مِنْ جَانِبِ الطُّورِ نَارًا قَالَ لِأَهْلِهِ امْكُثُوا إِنِّي آنَسْتُ نَارًا لَعَلِّي آتِيكُمْ مِنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ جَذْوَةٍ مِنَ النَّارِ لَعَلَّـكُمْ تَصْطَلُونَ

    Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya itu, dan ( mendapat izin ) berjalan dengan isterinya ( kembali ke Mesir ), ia melihat ( dalam perjalanan itu ) api dari sebelah gunung tursina. ( ketika itu ) berkatalah ia kepada isterinya : Berhentilah; Sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat membawakan kepada kamu sesuatu berita dari situ, atau sepuntung dari api itu, supaya kamu berdiang. (al-Qosos: 29).

  11. Penghijrahan nabi Musa dari negara Mesir ke Palestin bersama Bani Israil. Firman Allah Taala:

    ييَا قَوْمِ ادْخُلُوا الْأَرْضَ الْمُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَرْتَدُّوا عَلَى أَدْبَارِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ

    ( Nabi Musa berkata lagi ): Wahai kaumku! Masuklah kamu ke tanah suci ( Palestin ) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu ( memasukinya ): dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, ( kalau kamu undur ) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi ( di dunia dan akhirat ). (al-Maidah: 21).

  12. Penghijrahan beberapa orang remaja (ashaabul kahfi) yang mana mereka telah lari dari kerajaan demi menjaga aqidah yang suci. Firman Allah Taala:
  13. إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
    ( Ingatkanlah peristiwa ) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai tuhan Kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinnya kepada kami untuk keselamatan agama kami. (al-Kahfi: 10).
PERISTIWA HIJRAH DALAM HIDUP RASULULLAH S.A.W

Rasulullah s.a.w turut mengalami pelbagai peristiwa yang memberi tekanan keatas baginda, sebagaimana berlaku kepada para rasul sebelumnya. Dan secara khusus, peristiwa hijrah yang berlaku dalam hidup Rasulullah s.a.w. Ianya boleh dibahagikan kepada tiga peringkat :

Peringkat pertama ; Hijrah para sahabat baginda ke negara Habsyah yang berlaku sebanyak dua kali.

Peringkat kedua ; Hijrah Rasulullah s.a.w ke negeri Ta’if.

Peringkat ketiga ; Hijrah Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda ke al-Madinah al-Munawwarah.

Disini kita boleh mengambil beberapa pengajaran dari pemilihan Rasulullah s.a.w negara Habsyah sebagai lokasi untuk proses penghijahan yang pertama, dan pemilihan al-Madinah al-Munawwarah sebagai lokasi yang terkemudian, pemahaman tersebut boleh diadaptasikan dalam proses kehidupan kita pada hari ini. Pemilihan Rasullullah s.a.w negara Habsyah sebagai lokasi hijrah yang pertama bagi para sahabat baginda : Baginda Rasullullah s.a.w tidak memilih Habsyah sebagai lokasi hijrah para sahabatnya tanpa sebab, bahkan ada di sana kriteria-kriteria yang memungkinkan pemilihan tersebut, kenapa baginda tidak memilih negara Mesir, Iraq, Parsi atau Syam. Ini menunjukkan bahawa baginda telah mempunyai beberapa maklumat yang penting mengenai negara Habsyah, sebab itulah baginda berkata kepada para sahabatnya : ( Jikalau kamu semua berhijrah ke negara Habsyah sesungguhnya disana terdapat seorang raja yang baik dan negara itu pula diperintahkan dengan ajaran yang benar serta disitu juga boleh menjadi tempat untuk kamu mencari perlindungan ) Ucapan baginda Rasulullah s.a.w ini menunjukkan bahawa baginda tahu tentang negara tersebut serta tahu tentang pemerintahnya yang adil, disamping sedikit informasi tentang suasana politik, geografi dan situasi semasa negara tersebut. Proses penghijrahan para sahabat ke Habsyah disebabkan beberapa faktor, antaranya :

1- Tekanan yang berat yang menimpa orang Islam di bumi makkah menyebabkan mereka keluar darinya. Dengan jumlah seramai 83 orang muslimin dan 19 orang muslimat (bilangan yang boleh dianggap besar), maka mereka telah membentuk satu perkumpulan masyarakat Islam yang besar selain yang terdapat di bumi makkah, ini amat sesuai untuk menyebarkan ajaran Islam secara berkumpulan.

2- Kefahaman kepada sabda nabi Muhammad s.a.w (dan ia adalah bumi yang penuh dengan kebenaran), menunjukkan kepada kita bahawa raja an-Najasyi beriman dengan ajaran nabi Isa alaihissalam, menganut ajaran nasrani yang tulen lagi benar. Tahu tentang kebangkitan nabi akhir zaman melalui kitab suci injil yang dianutinya. Keikhlasannya dalam pegangan agama terserlah ketika beliau bersetuju untuk memberi perlindungan kepada para sahabat Rasulullah s.a.w yang telah berhijrah ke sana.

3- Tahap keimanan (kepercayaan) yang tinggi dikalangan para sahabat Rasulullah s.a.w yang membolehkan mereka meninggalkan tanah air dan harta benda tercinta berhijrah ke sebuah negara asing, yang bertujuan untuk mendapatkan pertolongan disamping memperteguhkan keazaman dalam usaha meneruskan aktiviti dakwah.

4- Ada ruang dan peluang untuk berdakwah dan menyebarkan agama Islam kepada golongan yang beriman dengan kitab suci taurat dan injil, dan mereka tahu tentang nabi yang akan dibangkitkan sebagai utusan terakhir umat manusia melalui kitab suci tersebut. Rombongan para sahabat ini diketuai oleh Jaafar ibnu Abi Talib r.a, beliau telah menggunakan ruang dan peluang yang ada ini dengan menjelaskan kepada raja an-Najasyi tentang perbezaan antara agama Islam yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w dengan ajaran Jahiliah yang dipraktikkan oleh masyarakat makkah, penerangan yang diberikan oleh beliau membawakan kepada pengIslaman an-Najasyi dan sebahagian yang lain bangsa Habsyah, dan ada diantara mereka yang mengunjungi Rasulullah s.a.w selepas suatu ketika.

5- Rasulullah s.a.w tidak memilih negara Yaman atau al-Madinah al-Munawwarah sebagai lokasi hijrah yang pertama, walaupun jaraknya lebih dekat dengan kota Makkah, ini atas sebab keselamatan dimana kedua-dua lokasi tersebut didiami oleh golongan penyembah berhala dan golongan Yahudi, berkemungkinan besar para sahabat yang berhijrah ini akan ditimpa bencana dilokasi tersebut. Selain itu juga, Rasulullah s.a.w amat tahu tentang raja an-Najasyi yang memerintah dengan adil berpandukan ajaran injil, akan berbuat baik kepada para sahabat baginda.

Dari kesemua faktor diatas, dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda mempunyai perancangan yang amat teliti dalam menyusun strategi dakwah, dalam konteks hijrah sebagai langkah alternatif dakwah mereka, pemilihan negara Habsyah sebagai lokasi hijrah dikira amat tepat sebagai perancangan dan penghijrahan Rasulullah s.a.w ke al-Madinah al-Munawwarah.

Pemilihan Rasulullah s.a.w keatas al-Madinah al-Munawwarah sebagai lokasi hijrah seterusnya, langsung mendirikan kerajaan Islam yang pertama, menunjukkan kepada kita Rasulullah s.a.w mempunyai perjalanan kerja yang hebat, disamping kajian tersendiri yang baginda lakukan keatas golongan ansar. Ini boleh difahami dengan termeterainya dua perjanjian Aqabah yang dilakukan sebelum itu di bumi Makkah, serta penghantaran Mus’ab ibnu Umair ke al-Madinah sebagai pendakwah yang sekaligus bertindak sebagai pengarah untuk membuat persediaan kearah membentuk daulah Islamiah.

Perancangan Rasulullah s.a.w untuk menubuhkan daulah Islamiah telah ada sebelum proses hijrah berlaku, dengan membentuk carta organisasi yang terdiri dari beberapa orang sahabat baginda yang cukup berpengalaman dalam pengurusan, diantara agenda yang telah dibuat oleh Rasulullah s.a.w dalam perancangan ini ialah seperti berikut :

1- Menyuruh Saidina Ali untuk tidur di tempat tidur baginda dan berselimut dengan selimut baginda, ini sebahagian dari perintah Allah kepada baginda. Ini juga merupakan sebahagian dari tanggungjawab seorang pemimpin untuk menjayakan misinya. Perbuatan baginda ini telah menempelak musuh yang menyangka Rasulullah s.a.w seorang yang tidak bijak dalam bertindak. Kalau diamati sedikit kepada perbuatan baginda ini, berkemungkinan kita terfikir adakah baginda tidak bercaya kepada Allah untuk menjaga baginda dari musuh, jawapan yang jelas adalah tidak.

2- Keluar pada waktu siang : Tindakan Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya ke rumah Saidina Abu Bakar pada siang hari, waktu dimana penduduk Makkah sedang berehat di dalam rumah kerana keadaan diluar yang amat panas, maka baginda dapat melindungi diri dari pandangan mata penduduk.

3- Keluar melalui pintu kecil – lorong kecemasan - dari rumah Saidina Abu Bakar. Dipercayai rumah beliau dikawal sekeliling, maka keluar melalui lubang rahsia yang jauh dari kawalan musuh adalah jalan yang paling selamat.

4- Mencari perlindungan di dalam gua : Rancangan jahat musyrikin Makkah untuk membunuh Rasulullah s.a.w pasti dirancang dengan teliti lagi rapi. Untuk itu, sebarang jalan atau denai yang menuju keluar dari makkah pastinya di sekat, maka mencari tempat perlindungan sementara adalah perlu dan ianya adalah sebahagian dari strategi Rasulullah s.a.w.

5- Gua Thur terletak berlawanan dengan jalan menuju Madinah : Jelas disini kehebatan Rasulullah s.a.w dalam merancang perjalanan, dimana gua Thur yang terletak di selatan Makkah itu tidak menghadap kearah jalan menuju ke Madinah, langsung tidak memberi curiga kepada askar-askar yang mencari mereka.


6- Mengetahui berita dari Makkah : Saidina Abu Bakar telah memerintahkan anak lelakinya yang bernama Abdullah supaya mendapatkan sebarang berita dan maklumat dari Makkah pada siang hari, dan melaporkan kepadanya pada malam nanti. Mengetahui berita dan maklumat dari musuh ( mengenai perancangan, rahsia dan jangkaan tindakan mereka ) adalah perlu kerana dari maklumat itulah Rasulullah s.a.w dapat merancang sebarang tindakan yang sewajarnya untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Tindakan yang akan dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah berdasarkan realiti yang berlaku pada pihak musuh, bukan dari andaian dan percaturan yang tidak berasas yang berkemungkinan salah atau betul. Corak ke”pemimpin”an yang ditunjukkan oleh junjungan besar Rasulullah s.a.w dalam situasi ini cukup hebat untuk diperkatakan, dimana baginda dapat mengetahui keadaan musuh, strategi mereka yang membolehkan baginda membuat tindakbalas yang cukup ampuh sebagai jalan penyelesaian.

7- Menjamin bekalan makanan : Sudah menjadi tugas Asma’ bintu Abu Bakar untuk membawa bekalan makanan kepada Rasulullah s.a.w dan ayahandanya Abu Bakar ketika mereka memerlukannya, jikalau putus bekalan makanan ini nescaya mereka berdua berada dalam masalah. Kita boleh membuat gambaran tentang usaha dua beradik ini yang amat bersungguh-sungguh dalam melancarkan misi dakwah, bekalan maklumat dan bekalan makanan dari dua individu yang berlainan.

8- Menghapuskan jejak : Saidina Abu Bakar telah memerintahkan hambanya Aamir ibn Fuhairah untuk membawa ternakan ke padang ragut kemudian melalukannya di jalan yang dilalui beliau dan Rasulullah s.a.w serta jejak yang dibuat oleh dua beradik tadi. Tindakan ini bertujuan menghapuskan jejak dan kesan yang ditinggalkan mereka.

9- Terus berlindung dalam gua selama tiga hari : Rasulullah s.a.w merasakan tindakan keluar dari gua dalam tiga hari awal itu akan memberi kesusahan kepada mereka.

10- Mengambil manfaat dari pengalaman golongan musyrikin : Rasulullah s.a.w mengupah seorang musyrikin yang boleh dipercayai yang bernama Abdullah ibn Uraiqit sebagai penunjuk jalan kepada Baginda dan Abu Bakar untuk sampai ke Madinah.

11- Jalan menuju negara Yaman : Haluan pertama yang dilalui oleh rombongan ini ialah arah selatan yang menuju ke Yaman, kemudian beralih ke sebelah barat yang menuju ke laut, seterusnya mereka menyambung perjalanan melalui jalan asing menuju Madinah yang tidak pernah dilalui sesiapa pun. 



Disediakan Oleh :
Ust. Hisyamuddin
Unit Penerbitan dan informasi